Blog Berita Online

Berita Utama

Kilang proses fucuk kotor, tikus berkeliaran

GEORGETOWN – Tikus dan lipas berkeliaran di sekitar tempat pemprosesan makanan serta terdapat najis haiwan di merata premis.

Itu keadaan jijik dua kilang memproses fucuk secara tradisional di Solok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, yang diserbu anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam Op Tegar hari ini.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata pemeriksaan mendapati peralatan kayu memproses fucuk itu kotor dan boleh menyebabkan pencemaran dalam makanan.

Beliau berkata, keseluruhan keadaan kebersihan di dua premis yang diusahakan sebuah keluarga sejak tahun 1970-an itu amat tidak memuaskan.

“Susunan peralatan yang tidak sepatutnya dalam premis ini mengundang kehadiran tikus dan lipas apabila anggota penguat kuasa menemui haiwan itu di tepi pintu peti sejuk beku.

“Selain itu, fucuk yang dipasarkan di sekitar Pulau Pinang ini didapati tidak mempunyai label pada bungkusan, selain perusahaan didirikan di atas tanah berstatus perumahan serta tidak mempunyai lesen,” katanya ketika ditemui selepas serbuan itu hari ini.

Katanya, pemilik premis juga didapati melakukan penambahan struktur pada bangunan premis tanpa kebenaran dan tindakan lanjut akan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sudah melakukan pemeriksaan terakhir di premis ini pada Mac tahun lalu, namun keadaannya masih tidak berubah.

“Susulan itu, pemilik premis dikenakan tiga kompaun di bawah Akta Makanan 1983 dengan nilai keseluruhan RM7,500. Mereka juga diberi notis penutupan premis mengikut Undang-Undang Kecil MBPP 1991,” katanya.

Leave a Reply