ALOR SETAR – Kerajaan negeri kesal dengan penganjuran konsert hiburan di dataran berhadapan Masjid Zahir, di sini yang sekali gus menjejaskan nama baik Kedah di bawah pimpinan PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, meskipun aktiviti itu mendapat kebenaran pihak berkaitan, aktiviti hiburan yang menutup program, semalam dilihat kurang sopan.
“Program bermula pagi dengan aktiviti yang disusun oleh penganjur ketika itu semua nampak okay… ada jualan dan sebagainya, tapi di penghujung program ada konsert pula.
“Pengisian yang macam itu amat-amat tidak wajar dan mencemarkan nama baik kita. (Negeri) kita tercalar dengan acara begini.
“Konsert (hiburan) tidak layak dibuat di dataran itu kerana ia di depan masjid dan belakangnya pula adalah pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK). Saya merakamkan kekesalan dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, video mengenai acara itu tular di media sosial, memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan muzik dianjurkan.
Acara itu mengundang rasa kurang senang orang ramai, khususnya penduduk beragama Islam memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.
Najmi mengingatkan pihak berkuasa supaya lebih berhati-hati dalam memberi kelulusan terhadap sebarang acara dan memantau program yang dianjurkan.
“Dataran itu sepatutnya dianjurkan dengan program bermanfaat dan pengisian yang baik dan bersesuaian, bukan dengan persembahan muzik atau konsert,” tegasnya yang turut meminta JHEAIK menyiasat penganjuran acara itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak mengeluarkan lesen untuk penganjuran konsert itu, malah lesen hiburan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kota Setar.
“Bagaimanapun, pihak saya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini termasuk memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.
Leave a Reply