YAN – Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Ruat di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Konstabel Taxlamsyah Nurul Hayat Piee, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan beberapa anggota badan lain.
Difahamkan, kemalangan berlaku semasa anggota polis yang masih bujang itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya bagi menyelesaikan urusan pentadbiran sebelum mula bercuti hari ini.
Arwah dikatakan akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya tiga hari lagi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa yang baru tiga tahun bertugas sebelum itu telah pulang ke rumah sewanya di Singkir di sini selepas habis kerja syif pada pukul 8 pagi tadi.
“Mangsa dikatakan telah menghubungi rakan setugasnya untuk datang semula Ibu Pejabat Polis Daerah Yan bagi menyelesaikan beberapa urusan pejabat sebelum mula bercuti,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, anggota itu bagaimanapun terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan apabila kereta jenis Nissan Sunny dipandunya bertembung dengan lori satu tan. – K! ONLINE
Leave a Reply