Berita Utama

KP Kesihatan jangka akan ada pertambahan kes di Sabah

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham menjangka lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan di Sabah pada minggu ini susulan gelombang ketiga wabak berkenaan yang melanda negara.

Menurut Dr Noor Hisham, kementerian kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi sedang berusaha untuk mengekang penularan wabak itu di Sabah.

“Kita harap dapat landaikan lengkok kes di Sabah dan jangka dalam seminggu ni akan ada pertambahan kes. Kalau lihat dalam tiga hari, (jumlahnya) berkurangan.

“Tapi masih jalankan pengesanan dan harap dapat kesan semua kes positif dengan kerjasama erat semua agensi,” katanya.

Noor Hisham yang kini menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas mempunyai kontak dengan seorang menteri kabinet yang dikesan positif Covid-19, mengadakan sidang media secara maya dari kediamannya.

Katanya, KKM telah menggerakkan bantuan tambahan dari Semenanjung termasuk pakaian pelindung diri (PPE) tambahan dan alat ujian swab untuk aktiviti pengesanan kes.

“Sekarang gelombang ketiga. Saya sekali lagi ingin ingatkan rakyat supaya kita patuh SOP dan bantu KKM untuk duduk di rumah,” tegasnya.

Menjawab soalan dari media mengenai dakwaan yang tersebar di internet bahawa pelancong dari Sabah cuba mengelakkan diri daripaa menjalani pemeriksaan Covid-19 dengan terbang ke Sarawak sebelum ke negeri lain, Noor Hisham menafikannya.

Katanya, pihak berkuasa di Sarawak juga melakukan ujian pengesanan terhadap pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi di Sabah, seperti yang dilakukan di lokasi masuk lain di negara ini.

“Kalau lihat kawalan sempadan di Sarawak dan Labuan juga telah laksana pada 27 Sept sama seperti kemasukan ke PMA (pintu masuk antarabangsa) dan PMD (PIntu Masuk Domestik) di Semenanjung

“Kalau lihat ada kes-kes positif dikesan di Sarawak dan Labuan kerana telah kuatkuasakan dan memang jalankan ujian semua kemasukan dari Sabah,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!