Blog Berita Online

Berita Utama

‘Lembik tengok tiga keranda anak-anak di rumah’ – Bapa mangsa lemas tiga beradik

HULU TERENGGANU: Bapa kepada tiga beradik mangsa lemas di Sungai Terengganu tidak mampu mengiringi jenazah anak-anaknya ke tanah perkuburan.

Mohd Ismail berkata, selama empat tahun dia yang sering menghantar jenazah lain ke tanah perkuburan dan tidak menyangka kali ini melibatkan anak-anaknya sendiri.

Bagaimanapun, pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, dia bersyukur apabila mayat anak-anaknya itu berjaya ditemui pasukan penyelamat selepas 18 jam melakukan operasi pencarian.

Tiga jenazah anaknya itu adalah Allahyarham Umar Iskandar Mohd, 21; Khairul Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd. 16 yang merupakan anak keempat, keenam dan ketujuh dari lapan beradik.

Pasukan bomba dan penyelamat berusaha mencari mayat tiga beradik mangsa lemas di Sungai Terengganu.

“Orang lain satu keranda sahaja tapi saya sampai tiga, terus rasa lembik tengok tiga keranda anak-anak saya ini dibawa ke rumah.

“Saya terus rasa tak berapa kuat semangat, sedangkan sebelum ini sering memberi nasihat itu kepada orang lain,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Ismail memberitahu, dia masih teringat kata anak-anaknya itu yang ingin membantunya selepas ini.

Walau bagaimanapun, hasrat tiga beradik itu tidak kesampaian apabila kesemua mereka terlebih dahulu meninggalkannya.

Katanya, ketiga-tiga beradik itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat.

Leave a Reply