Blog Berita Online

Politik

Mahathir, 6 yang lain saman Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan enam yang lain mengemukakan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pemberhentian keahlian dan jawatan mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Lima yang lain ialah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhirnya dalam parti selaku Timbalan Presiden; bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda); bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (ahli); bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (ahli) dan bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya (Setiausaha Agung).

Mereka yang turut menamakan BERSATU sendiri selaku plaintif, mengemukakan saman berkenaan terhadap Muhyiddin yang kini Presiden dan Pemangku Pengerusi BERSATU; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan.

Writ saman dan pernyataan tuntutan mereka difailkan pada tengah hari tadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman itu, plaintif memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli BERSATU yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.

Mereka memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa keahlian Muhyiddin, Hamzah dan Muhammad Suhaimi di dalam BERSATU adalah terlucut, berkuat kuasa pada 28 Februari 2020 dan/atau 29 Februari 2020, menurut Fasal 10.2.3 perlembagaan parti.

Yang turut dipohon, perisytiharan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah.

Perisytiharan lain ialah Fasal 10.2.6 Perlembagaan BERSATU tidak terpakai di atas hal melucutkan/ memberhentikan keahlian semua plaintif.

Mereka juga memohon perintah injunksi dikeluarkan kepada ROS untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen BERSATU seperti diperintahkan mahkamah secara serta merta, ganti rugi am dan relif lain difikirkan wajar oleh mahkamah.

Leave a Reply