Blog Berita Online

Berita Utama

Mahathir cadang potong 10 peratus gaji kakitangan awam, swasta

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan agar mereka yang berpendapatan tinggi dalam sektor awam atau swasta menyumbang 10 peratus daripada gaji mereka untuk membantu golongan miskin semasa pandemik COVID-19 ini.

Beliau berkata wang itu boleh digunakan untuk membekalkan makanan kepada penganggur dan mereka yang tidak berpendapatan.

“Ini satu pengorbanan tetapi saya tidak rasa ini akan menjejaskan mereka jika ada satu tahap pemotongan yang munasabah, katakanlah RM20,000 sebulan.

“Pandemik ini paling menjejaskan golongan miskin. Mereka yang kehilangan pekerjaan dan peniaga kecil tidak mempunyai pendapatan langsung. Mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak memperoleh pendapatan, mereka tidak akan mempunyai wang untuk membeli makanan. Mereka akan kelaparan.

“Sebaliknya, mereka yang dibayar gaji yang tinggi terus memperoleh lebih daripada keperluan harian mereka. Sudah tentu, mereka yang diberi gaji tinggi, seperti kakitangan syarikat penerbangan dan eksekutif perniagaan mungkin juga kehilangan pekerjaan,” kata beliau dalam blognya di http://chedet.cc hari ini sebagai respons kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lepas.

Sementara itu, Dr Mahathir juga berharap ia akan diubah suai agar menjadi lebih realistik dan rakyat termasuk ahli politik dapat menyokongnya.

“Walaupun keadaan ekonomi memerlukan lebih banyak wang dibelanjakan oleh kerajaan, pandemik ini juga mempengaruhi pendapatan kerajaan.

“Belanjawan ini untuk 2021. Unjuran pemulihan ekonomi terlalu optimistik,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas dengan peruntukan RM322.5 bilion, tertinggi dalam sejarah negara dalam menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Leave a Reply