Berita Utama

Malaysia kuasai pasaran rokok seludup paling besar di dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi menjadi tajuk berita global yang negatif apabila firma peneraju kajian strategik pasaran Euromonitor International baru-baru ini meletakkan negara ini sebagai terbesar di dunia dari segi berleluasanya pasaran rokok seludup.

Ketika sesi perbincangan panel dikelolakan oleh New Straits Times, baru-baru ini, Ketua Kanan Penyelidikan Tembakau di Euromonitor International, Shane MacGuill berkata, rokok tidak sah di Malaysia adalah hampir 65 peratus atau dua per tiga daripada keseluruhan pasaran pada 2019.

“Tidak ada pasaran lain yang dapat menyaingi atau menghampiri Malaysia, kerana pasaran rokok seludup terbesar seterusnya ialah Brazil yang kami anggarkan kira-kira 50 peratus daripada pasaran,” kata MacGuill.

Beliau berkata, daripada ratusan pasaran diteliti Euromonitor International di seluruh dunia, hanya 10 pasaran memiliki tahap perdagangan rokok seludup melebihi 30 peratus.

Daripada 10 pasaran ini, Malaysia tertinggi dan kelapan terbesar di dunia dari segi jumlah rokok seludup.

“Dari segi mana kita hendak bahagikan carta atau statistik, adalah jelas wujud isu sangat besar di dalam pasaran tembakau Malaysia,” kata MacGuill.

MacGuill seorang daripada tiga panel multinasional pada Forum NST175 Insight bertema Pasaran Rokok Seludup: Pandangan Multinasional.

Perbincangan panel dihoskan oleh Pengarang Berita Kanan NST Faridul Anwar.

Dua lagi ahli panel ialah David Luna, bekas Diplomat AS dan bekas Pengerusi Pasukan Petugas Bagi Menangani Dagangan Haram di OECD (Organisasi Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) yang juga pakar di dalam jenayah kumpulan jenayah transnasional, rasuah, pengubahan wang haram dan pengedaran dadah dan Pankaj Kumar, kolumnis akhbar berpengaruh yang juga penganalisis ekonomi.

Mengulas mengenai masalah akut pasaran rokok seludup Malaysia, Luna berkata, isu berkenaan menyebabkan bahaya besar apabila ia mula bercantum dengan jenayah lain, sama ada penyeludupan manusia, narkotik atau hidupan liar, yang juga dilakukan oleh kumpulan jenayah terancang.

“Pasaran rokok seludup bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang tinggi, tetapi juga menjejaskan kestabilan kepada pasaran (ekonomi) dan institusi kerajaan. Ia amat membimbangkan untuk melihat tahap penebusan jenayah sebegitu tinggi di Malaysia,” katanya.

Luna berkata, pasaran rokok seludup Malaysia turut membahayakan negara jiran Asean selain ekonomi APEC.

“Laporan menunjukkan sindiket jenayah Malaysia kini menerobos masuk ke pasaran Australia dan New Zealand kerana perbezaan harga (rokok).

“Oleh kerana Malaysia kini berperanan sebagai pengerusi dan tuan rumah APEC tahun ini, kerajaan Malaysia harus mengambil peranan peneraju memulakan kerjasama melangkaui sempadan bagi menangani masalah multinasional ini,” katanya.

Dari segi penyelesaian, semua anggota panel bersependapat bahawa aspek penguatkuasaan sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Pankaj berkata, pegawai penguatkuasaan Malaysia menunjukkan mereka memang berkebolehan dan berupaya menangkap penyeludup dan membawa mereka ke muka pengadilan. Tetapi katanya, ia bukan sekadar mengenai penyeludup, tetapi keseluruhan rantaian nilai rokok tidak sah.

Menurutnya, soal mampu dibeli adalah satu isu dan selepas kerajaan menaikkan duti eksais dengan begitu tinggi pada 2015, harga rokok sah meningkat 40 peratus kepada 42 peratus.

“Hari ini, kelompok perokok tertumpu kepada segmen berpendapatan rendah di dalam masyarakat termasuk berpendapatan gaji minimum. Jadi jika mereka merokok rokok sah pada purata 20 kotak sebulan, ia antara 15 peratus hingga 16 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan mereka. Kos itu tinggi dan alternatif lebih murah tersedia ada,” katanya.

MacQuill bersetuju bahawa segmen berpendapatan rendah adalah mereka yang merokok dan juga pengguna produk pasaran gelap.

“Kita sekarang menyaksikan peningkatan sangat besar di dalam perdagangan rokok seludup pada tahun mendatang disebabkan impak ekonomi oleh Covid-19.

“Cara penyelesaian berbeza perlu diambil pada satu-satu masa, berbanding sekadar melihat kepada isu cukai atau penguatkuasaan secara berasingan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!