Berita Utama

Maszlee lancar #UntukMalaysia tumpu selesai isu pendidikan

CYBERJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta dalam inisiatif gerakan pendidikan #UntukMalaysia yang dilancarkan hari ini.

Beliau berkata, #UntukMalaysia merupakan sebuah platform pendidikan yang terbuka untuk semua masyarakat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Ini adalah sebuah gerakan rentas ideologi, kepartian, bangsa dan kelas ekonomi yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah pendidikan sama ada besar atau kecil.

“Dalam masa sama, sebuah laman sesawang untukmalaysia.my juga akan dilancarkan.

“Laman sesawang ini berfungsi sebagai platform untuk pelbagai pihak berinteraksi, membuat ‘crowdfunding’, meminta pertolongan, menjadi sukarelawan bahkan berbahas mengenai isu-isu pendidikan,” katanya ketika melancarkan inisiatif tersebut pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan inisiatif sebegitu diadakan adalah bagi menawarkan wahana sebagai jambatan kepada rakyat Malaysia yang cintakan pendidikan.

“Gerakan ini adalah manifestasi usaha orang-orang kecil, rakyat biasa seperti kita semua untuk membantu pendidikan negara dalam kapasiti kemampuan masing-masing tanpa perlu menantikan pihak-pihak tertentu untuk dipersalahkan,” katanya.

“#UntukMalaysia juga merupakan satu usaha untuk semua pihak menggembleng tenaga demi kepentingan bersama berteraskan medium komunikasi dan teknologi terkini,” katanya yang merupakan Penaung #UntukMalaysia.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, dunia pendidikan negara ketika ini sedang menghadapi cabaran yang getir dalam pelbagai aspek.

Menurutnya, isu kemiskinan yang dihadapi masyarakat Malaysia dan ditambah dengan penularan koronavirus (Covid-19) telah memburukkan lagi keadaan pendidikan negara.

“Seribu satu masalah bukan sahaja di luar sekolah, bahkan dalam sekolah. Isu sekolah daif masih menghantui anak-anak Sabah dan Sarawak.

“Ketika Covid-19 ini, sekolah yang sepatutnya menjadi satu-satunya kawasan selamat untuk anak-anak kita hari ini ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sementara tujuh peratus daripada pelajar sekolah menengah dilaporkan tidak bersekolah dan hampir satu daripada lima keluarga mendedahkan anak mereka sudah hilang minat untuk bersekolah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua perkara berkenaan telah memberi kesan kepada sistem pendidikan negara.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!