Politik

Mat Sabu terguris hati PH gagal dapat mandat semula

PETALING JAYA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu terasa kecil dan terguris hati apabila pihak yang mendapat mandat rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak memperoleh mandat itu semula.

Kata beliau, rakyat telah melihat proses pilihan raya untuk memilih kepimpinan negara telah menjadi sia-sia sejurus Langkah Sheraton bermula dengan pertukaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

“Saya mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, saya berasa kecil hati dan terguris apabila mereka yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya Mei 2018 tidak memperoleh mandat itu semula.

“Oleh itu, proses demokrasi berparlimen di Malaysia perlu diperteguhkan semula agar beri keyakinan kepada rakyat supaya ‘Peristiwa Sheraton Move 2020’ tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Kalau ia berulang, bermakna sistem yang kita pilih ini telah hancur dan perlu diperbaiki menjelang pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamad menjelaskan dalam memberi keyakinan semula kepada rakyat adalah sukar apabila yang menang menjadi pembangkang dan yang kalah menjadi kerajaan.

“Rakyat perlu membuat pilihan. Yang penting sistem demokrasi berparlimen perlu dipertahankan,” jelasnya.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!