Berita Utama

Mayat kanak-kanak jatuh longkang ditemui

SEREMBAN – Mayat mangsa lemas, Mohamad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang terjatuh dalam longkang di Flet Cempaka Seremban 2 sebelum dihanyutkan arus deras, Sabtu lalu ditemukan pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui selepas lebih 35 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan pasukan keselamatan terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Zon Seremban JBPM Negeri Sembilan, Khir Amir Ahmad, berkata mayat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nyatoh itu ditemui di kawasan kolam takungan tidak jauh dari lokasi mangsa terjatuh.

“Kami temui mayatnya jam 7.30 pagi tadi selepas usaha dilakukan bagi mengurangkan air dalam takungan yang bermula semalam.

“Keseluruhan seramai 56 anggota JPBM dan PDRM terbabit dalam operasi ini dan Alhamdulillah akhirnya mayat kanak-kanak ini ditemui,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu, mangsa dikatakan sedang bermain dengan abangnya yang berusia sembilan tahun dengan seorang kawan berusia 12 tahun sebelum tergelincir ke dalam longkang berhampiran flet berkenaan sebelum dibawa arus.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Ain Ismail, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana akhirnya dapat melihat wajah anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Saya dimaklumkan oleh pasukan keselamatan mengenai penemuan mayat anak saya pada jam 7.40 pagi tadi ketika berada di rumah.

“Saya dan suami terus ke lokasi. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat lihat anak dan kembali ke pangkuan saya walaupun dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban, di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.

Nor Ain berkata jenazah dijangka dikebumikan esok.

Sementara itu, Nicole berkata beliau bagi pihak kerajaan negeri akan membantu keluarga terbabit terutama urusan pengebumian kanak-kanak berkenaan.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!