Berita Utama

Meninggal selepas lahirkan anak, Siti Sarah layak beroleh syahid akhirat

PEMERGIAN Siti Sarah pada awal pagi Isnin mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai terutamanya bagi mereka yang mengenali rapat penyanyi itu.

Menurut Imam Muda Asyraf, sesuatu yang istimewa apabila media sosial dipenuhi dengan perkongsian rakan selebriti dan orang ramai tentang kebaikan arwah ketika hayatnya.

“Ramai dah cerita tentang kebaikan dia, kita anggap ni kematian yang baik.

“Orang ramai… sayang kalau orang mati dipuji dengan kebaikan, sesungguh orang itu ada tanda-tanda yang baik bagi dia,” katanya ketika dihubungi mStar.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.

Allahyarham menjalani pembedahan mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungan berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu selepas beberapa jam ditidurkan.

Lebih menghibakan apabila Siti Sarah pergi ke negeri abadi tanpa sempat menatap bayi yang dikandungkannya itu.

Sementara itu Asyraf atau Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata pemergian Siti Sarah dianggap sebagai syahid akhirat kerana kematian disebabkan virus Covid-19.

“Tambahan pula dia meninggal dalam keadaan selepas bersalin, kita tahu pregnant adalah sebahagian daripada syahid akhirat.

“Ada syahid dunia dan akhirat, syahid dunia, serta syahid akhirat… orang yang mati dalam rumah terbakar, orang mati kerana wabak dan melahirkan berada dalam kategori syahid akhirat.

“Ganjaran sangat besar, dalam hadis ada disebut tentang orang mati syahid.

“Sesungguhnya dia akan dapat ganjaran yang sangat agung… sangat besar, InsyaAllah tempatnya dalam syurga,” katanya.

Tambah Asyraf, sebagai individu yang mengenali rapat dengan keluarga Siti Sarah, dia berharap Shuib akan meneruskan amal kebaikan yang sering dilakukan arwah iaitu bersedekah.

“Sewaktu hidup hajat dan inspirasi Sarah ialah bersedekah, jadi amalan ini boleh disambung.

“Boleh teruskan hajat dia dalam bersedekah kepada anak-anak tahfiz. Kerana dia minat ke arah itu, jadi kalau boleh perkenankanlah hajat tu agar doa tak berhenti kepada Sarah,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!