KUALA LUMPUR – Menteri tidak akan kebuluran sekiranya gaji dipotong 30 peratus, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, ramai rakyat yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi.
“Ada cadangan supaya gaji menteri dikurang 30 peratus. Dalam zaman Covid-19, saya tak fikir Menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30 peratus.
“Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi dan bagi mereka keluarga akan turut menderita.
“Mungkin tidak 30 peratus mungkin hanya 10 peratus,” cadangnya dalam perbahasan Belanjawan 2021, hari ini.
Beliau mempertikai, “apa perlunya kerajaan menambah pendapatan apabila gaji mereka lebih dari mencukupi membiayai keperluan hidup.
Ujarnya, sepatutnya bantuan diberi kepada pekerja yang hilang pekerjaan, dan hilang pendapatan sama sekali bahkan mereka tidak pun dapat membiayai makan harian.
“Harus kita ingat bahawa kesan dari Covid-19 ini bukan sahaja terhadap kesihatan tetapi amat teruk kepada ekonomi.
“Lockdown memang satu cara membendung Covid-19 yang berkesan, tetapi ia menjejas ekonomi kita dengan teruk. Lebih lama lockdown lebih teruk lagi kemerosotan ekonomi.
“Lockdown menekan rakyat yang miskin sehingga ada yang kehilangan pendapatan sama sekali. Mereka tidak pun dapat makan. Sebaliknya ramai orang yang bergaji terus mendapat gaji penuh.
“Biasanya gaji kebanyakan dari mereka lebih tinggi dari menampung keperluan hidup dan kerajaan akan tambah RM500 sekali gus kepada mereka,” katanya.
Leave a Reply