Berita Utama

Artis veteren, Mimi Loma meninggal dunia dalam tidur

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi era 1960-an, Mimi Loma, 75, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, jam 2.19 pagi ini.

Berita pemergiannya disahkan oleh anak tunggalnya, Sherina Othman, 48, ketika dihubungi BH Online.

Sherina berkata, arwah pergi dalam keadaan tenang di hadapannya, anak dan jiran.

“Arwah tidak sakit tenat, cuma mengalami cirit birit dan kurang selera makan, sejak beberapa hari lalu. Saya dan anak sentiasa memantau pemakanan dan memberinya ubat agar sakit tidak melarat.

“Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit birit semula.

“Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. Apabila dipanggil arwah juga tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respon perlahan.

“Saya fikir arwah mungkin kepenatan disebabkan tidak sihat, malam kelmarin. Selalunya, apabila bangun arwah akan segar semula. Namun, saya tidak menyangka itu petanda arwah akan pergi selama-lamanya,” katanya yang masih menggigil badan akibat terkejut pemergian arwah ibunya secara tiba-tiba.

Katanya, dia dan anaknya memeriksa oksigen dan pernafasan arwah, mula perasan tangan serta kakinya sudah sejuk, kira-kira jam 2 pagi.

“Tangan dan kakinya sejuk, pernafasan mula perlahan. Selalunya, saya dapat mendengar bunyi pernafasan yang keluar daripada mulutnya.

“Saya tidak sedap hati dan memanggil jiran dan rakan. Ketika memeriksa pernafasan kira-kira jam 2.10 pagi, arwah masih bernafas, cuma semakin perlahan.

“Kemudiannya, terus senyap. Arwah pergi dengan tenang di hadapan saya dan keluarga. Alhamdulillah, kami sempat mengajar arwah mengucap ketika sedang nazak,” katanya.

Sherina berkata, dia mula melihat perubahan wajah arwah pada malam Khamis lalu.

“Saya membawa pulang pulut hitam selepas pulang kerja. Apabila masuk rumah, arwah sedang tidur.

“Saya perasan wajah arwah sangat berbeza. Dalam hati terdetik kenapa muka mummy sangat berbeza, tetapi saya hanya mendiamkan diri.

“Saya dan anak berulang kali bertanya sama ada mahu makan pulut hitam, tetapi arwah tidak menjawab. Akhirnya, arwah cakap tidak mahu makan,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pagi ini.

Terdahulu, pelakon filem Ahmad Albab itu sudah sekian lama berada dalam keadaan uzur.

Beliau mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, tahun lalu.

Disebabkan terjatuh, tulang pinggul arwah Mimi patah dan melakukan pembedahan, namun sukar untuk berjalan.

Allahyarham Mimi atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail.

Beliau aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968. Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!