Blog Berita Online

Berita Utama

Muat naik minum teh tarik buih sebelum maut dalam kemalangan

PASIR PUTEH: Seorang jurujual kereta sempat memuat naik gambarnya menikmati teh tarik buih sebelum meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di KM 34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu, berhampiran Bukit Abal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 malam, mangsa, Mohd Rozimi Daud, 40 meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala.

Rakannya, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 45, mengalami cedera ringan di bahagian pinggang.

Terdahulu, Rozimi yang bekerja sebagai jurujual kereta di Kota Bharu sempat memuat naik gambar itu di Facebook pada jam 10 pagi, kira-kira sembilan jam sebelum kejadian.

Gambar terakhir itu kini dibanjiri komen dan ucapan takziah daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan arwah yang meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa dan rakan menaiki kereta jenis Proton Preve manakala lori dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dan rakan berusia 21 tahun.

Katanya, sebelum kejadian mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

“Sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah bertentangan, gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan kereta mangsa dan bertembung,” katanya hari ini.

Ediansha berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian pemandu lori yang masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

Katanya, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif .

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis,Pasir Puteh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Leave a Reply