Berita Utama

Mula-mula gaduh mulut, remaja ‘lunyai’ dibelasah sekumpulan lelaki

DIHEMPUK kepala menggunakan topi keledar dan spanar hingga pengsan.

Itu nasib dialami seorang remaja berusia 19 tahun selepas diserang beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki berhampiran Pantai Kelanang, Banting, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal bersama rakannya menuju ke Pantai Kelanang sebelum dihalang sekumpulan lelaki.

“Mangsa kemudian mempersoalkan tindakan suspek menghalang motosikal mangsa sebelum berlaku pertengkaran mulut.

“Secara tiba-tiba mangsa dipukul beramai-ramai menggunakan spanar besi dan topi keledar hingga menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan alami kecederaan di muka.

“Malah orang ramai yang melihat kejadian dan cuba membantu mangsa turut dipukul kumpulan penyerang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, melihat ramai orang mula mengerumuni lokasi kejadian, kesemua suspek melarikan diri.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Banting di sini, untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan identiti tiga suspek sudah dikenal pasti manakala identiti beberapa lagi suspek lain masih dikesan. Usaha memburu kesemua suspek yang terbabit sedang giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!