KOTA BHARU – Dua jurueletrik yang merupakan rakan sekerja maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Kilometer 13, Lebuh Raya Perol, Kota Bharu-Ketereh di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.01 tengah malam itu, Muhamad Safuan Mohd.Shukri, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dan pembonceng, Shahri Azlin Ibrahim, 36, melambung sejauh 30 meter selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Myvi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Ketereh dengan melalui Lebuh Raya Perol.
Katanya, semasa tiba di satu kawasan yang gelap, sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Myvi berwarna oren telah merempuh bahagian belakang motosikal dinaiki kedua-dua.
“Insiden itu menyebabkan kedua-dua mangsa melambung sejauh 30 meter sebelum terjatuh dan terseret di atas jalan raya.
“Kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Perol. Nahas itu turut mengakibatkan tangan kanan Shahri Azlin putus selain mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Suhaimi, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk dibedah siasat. – K! ONLINE
Leave a Reply