Blog Berita Online

Politik

Najib punca Bersatu berpecah, kata Mahathir

PERPECAHAN yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada kumpulan tertentu dipercayai berpunca daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu dimaklumkan apabila Bersatu berpecah kepada dua kumpulan iaitu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, keahlian Dr Mahathir dan mereka yang menyokongnya tergugur secara automatik dalam satu kenyataan media pada Mei lalu.

Faktor perpecahan itu juga dikatakan terdapat hasutan daripada Ahli Parlimen Pekan itu kepada beberapa pemimpin Bersatu untuk membentuk kerajaan baharu termasuk menawarkan jawatan dalam kabinet.

“Malangnya, dalam parti kita (Bersatu) ada yang nampak peluang nak jadi perdana menteri.

“Dengan perpisahan ini, kita jadi parti yang berpecah, bukan bersatu lagi.”

Demikian kata bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam ucapannya ketika program Blackout Bersatu dengan Dr. Mahathir seperti dipetik laporan portal Malaysiakini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga dilaporkan berkata bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai seorang yang tidak mampu lakukan sesuatu merugikan orang Melayu.

“Ya memang dia (Lim) bijak, tapi dia tak boleh lakukan sesuatu yang tak dipersetujui oleh kita.

“Patut kita sedar bahawa ini usaha Najib untuk takutkan orang Melayu supaya dia dapat jatuhkan Pakatan Harapan (PH).”

Kata Dr. Mahathir menafikan dakwaan Najib bahawa DAP akan menghancurkan masyarakat Melayu jika berkuasa.

Ini kerana menurutnya, ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan itu, hanya ada enam orang Menteri dalam kabinetnya.

“DAP ada enam menteri. Kita ada 22 menteri. Dan tak mungkin 22 menteri ini tunduk pada enam menteri,” jelasnya.

Kerajaan PH tumbang pada hujung Februari lalu apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri serta Pengerusi Bersatu.

Insiden politik itu juga menyaksikan perpecahan Bersatu sehingga Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, perpecahan turut berlaku dalam PKR apabila bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti. – SM

Leave a Reply