Kuala Lumpur: Luluh hati Nur Syamimi Md Saad apabila perlu menerima ketentuan kehilangan suaminya hari ini selepas terbabit kemalangan, Khamis lalu.
Suami, Nasiruddin Md Latiff, 31, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 9 pagi hari ini selepas bertarung nyawa.
Allahyarham Nasiruddin juga disahkan doktor mengalami ‘mati otak’ susulan hentakan kuat dalam kemalangan membabitkan motosikal ditunggangi dengan sebuah kereta di ibu kota.
Menceritakan kisah itu, Nur Syamimi, 31, berkata, dia hanya sempat melawat suaminya pagi semalam selepas tiba dari Pontian, Johor.
Beliau berkata, doktor sudah meminta dia dan keluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan selepas kecederaan di kepala suaminya yang serius.
“Doktor ada maklumkan suami sukar untuk diselamatkan kerana oksigen tidak boleh disalurkan ke otaknya.
“Keadaan ini menyukarkan dia untuk pulih namun saya tetap berdoa suami mampu bertahan namun akhirnya dia pergi meninggalkan saya dan tiga anak yang masih kecil,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, arwah suaminya baru memulakan kerja baharu sebagai pemandu dan mereka tinggal berasingan sementara waktu kerana tuntutan tugas.
Katanya, dia tidak menyangka 9 Februari lalu menjadi detik terakhir mereka bertemu di Pontian sebelum suaminya memulakan tugas di ibu kota.
“Anak perempuan kami berusia 4 hingga 11 tahun rapat dengan arwah suami malah dia menjadi tempat kami bersandar selama ini.
“Saya sempat melawatnya semalam dalam keadaan dia masih koma dan tetap berdoa dia kembali pulih walaupun sedar harapan memang tipis,” katanya.
Kisah kemalangan yang menimpa Nasiruddin tular di laman sosial sejak kelmarin dengan netizen mendoakan dia pulih semula.
Leave a Reply