Hiburan

Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB

SEREMBAN – Usahawan dan selebriti tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pasangan itu yang tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 8.50 pagi tadi didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi SOP PKPB pada 2 Mei lalu.

Neelofa dan suami menghadapi dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Pendakwaan terhadap Neelofa dan suami mendapat liputan meluas media apabila petugas media dari pelbagai agensi tiba seawal jam 730 pagi.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, bahawa pertuduhan ke atas pasangan terbabit akan dijalankan selepas kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB membabitkan kedua-duanya dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Beliau dilaporkan berkata, kedua-duanya akan dituduh mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei.

Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai permaidani berkenaan.

Neelofa menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli permaidani dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.

Isu itu mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai permaidani.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!