SETELAH hampir dua tahun turun naik mahkamah, akhirnya balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali menang dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap adik iparnya, Ali Puteh.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan pada pagi Jumaat.
Sehubungan itu Ali Puteh atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 33, diperintahkan membayar ganti rugi kepada Nor Hidayah sebanyak RM60,000.
Menurut peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Nor Hidayah, pada prosiding itu juga hakim membuat keputusan menolak tuntutan yang dibuat keluarga Allahyarham Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan dengan kos.
“Manakala tuntutan kami (Nor Hidayah) terhadap Ali Puteh dibenarkan dengan kos.
“Kami percaya keputusan ini membersihkan segala kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami.
“Sebelum ni dikatakan ada pihak telah dianiaya oleh anak guam, namun mahkamah jelaskan tidak berlaku sebarang penganiayaan sebaliknya anak guam kami yang dianiya,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu Nor Hidayah melahirkan rasa lega apabila proses undang-undang yang dilaluinya sejak dua tahun lalu berakhir dengan berpihak kepadanya.
“Alhamdulillah saya dan anak makin baik… doa yang terbaik untuk anak. Saya rasa lega dah,” katanya.
Sementara itu Ali Puteh ketika ditemui berkata dia menerima keputusan hakim Mahkamah Sesyen dengan hati terbuka.
“Saya akur dengan keputusan hari ini, saya tak marah atau rasa nak mengamuk.
“Saya hormati keputusan mahkamah,” katanya.
Pada Mei 2020, Nor Hidayah, 31, memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagram miliknya yang antara lain menggambarkan dia sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.
Saman dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000 itu difailkan Nor Hidayah kira-kira 15 hari selepas Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020.
Enggan berdiam diri, Ali Puteh memfailkan saman balas terhadap Nor Hidayah selain turut menamakan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri sebagai defendan.
Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI
TONTON VIDEO PILIHAN!
Leave a Reply