Berita Utama

Orang ramai anggap kompaun RM10,000 jika ingkar PKP terlalu tinggi

Kompaun sehingga RM10,000 menanti orang ramai yang didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 11 Mac ini, lapor Sinar Harian.

Perkara ini difahamkan telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, menurut laman Pejabat Peguam Negara.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.

Bagi syarikat pula, jika didapati bersalah melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan kompoun sebanyak RM50,000.

Mengambil kira situasi semasa, harga kompoun ini dinaikkan bertujuan untuk meminda Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang dibuat pada tahun 1988.

Laporan berita ini sebenarnya sudah mula heboh sejak bulan lalu lagi di mana Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun dinaikkan kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Bagaimanapun, melalui beberapa komen yang dibuat oleh warganet, kebanyakan daripada mereka menyuarakan rasa tidak senang dengan harga kompoun yang tinggi.

“Tak perlulah sampai 10k, macam zalim sangat. Setakat 1k pun dah memadai. Setiap manusia kadang-kadang akan melakukan kekhilafan. Sepatutnya kita mendidik dan memperkasakan dengan cara lain. Bukan cara kompaun tinggi-tinggi,” kata salah seorang netizen.

Seorang netizen di Twitter mempersoalkan bahawa jika seorang pelajar universiti atau kumpulan B40 dikenakan kompoun, bagaimana dia mahu membayar denda sebanyak itu.

Sebahagian daripada mereka pula ada yang mempersoalkan adakah kompoun ini akan bersifat menyeluruh atau berat sebelah.

“Pada aku tekanan yang rakyat sedang hadapi sekarang sudah pun berat jangan la dibebankan lagi dengan kompaun yang akan membebankan lagi kerana rakyat biasa cukup ‘senang di dapati berrsalah’ berbanding dengan golongan vip,” kata netizen di laman Facebook.

Seorang lagi pengguna Twitter menyatakan denda RM1,000 sebelum ini sudah cukup memberi kesan kepada mereka yang kehilangan kerja, manakala denda yang tinggi tidak akan meningkatkan kepatuhan orang ramai terhadap SOP.

Namun disebalik ramai yang tidak setuju dengan peningkatan denda ini, ada kumpulan yang merasakan bahawa ia adalah sesuatu yang wajar untuk dilakukan bagi membendung penyebaran wabak COVID-19.

Kata mereka, langkah ini baik untuk membantu orang ramai dalam mematuhi standard prosedur kesihatan dan mendidik mereka betapa pentingnya untuk mematuhi arahan ini.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!