TAMPIN: Seorang bekas pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi ditemukan mati tergantung di dalam sebuah rumah Taman Gunung Mas, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada adik ipar lelaki berkenaan.
“Sebaik sahaja menerima panggilan daripada adik ipar mangsa, polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.
“Siasatan awal tidak menemukan senjata tajam atau barang-barang berbahaya di lokasi kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat,” katanya hari ini.
Sementara itu adik ipar mangsa yang berusia 54 tahun berkata, bimbangkan panggilan telefon yang tidak bersahut, dia nekad menghubungi polis bagi membantunya melihat keadaan abang iparnya ity.
Jelasnya, dia pada mulanya telah menghubungi abang iparnya itu pada waktu petang setelah isterinya mengadu tidak dapat menghubungi mangsa sejak pagi.
“Ketika senja saya datang ke rumah ini dan saya lihat dalam rumah gelap sahaja. Saya memberi salam tapi tidak berjawab, jadi saya pulang dulu.
“Pukul 8 malam, saya datang semula dan meminta bantuan rakan tapi kami tetap tak dapat lihat ke dalam rumah. Saya terus menghubungi polis kerana bimbang sesuatu berlaku padanya,” katanya.
Katanya, abang iparnya itu mengalami masalah kemurungan dan keadaan bertambah buruk apabila bercerai pada Mei lalu.
Menurutnya, sejak berpindah dari Perak ke Tampin pada 28 Mei lalu, abang iparnya itu tinggal bersama mereka sekeluarga dan baru tiga hari sahaja menetap di rumahnya sendiri.
“Kami memang bawa dia pergi dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tampin. Pernah juga sebelum ini abang mahu duduk sendiri di sini tapi sehari sahaja saya benarkan bila saya tengok keadaannya agak lain.
“Kali ini dia mahu tinggal sendiri kerana segan dengan anak-anak saya. Sabtu lalu saya hantarkan kuih padanya dan dia tiba-tiba memohon maaf kepada saya, ” katanya.
Leave a Reply