Blog Berita Online

Berita Utama

Pasangan suami isteri maut kemalangan selamat dikebumikan

BALING – Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 181 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bagan Serai, Perak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Bakong, Kuala Ketil di sini malam ini.

Jenazah anggota Tentera Darat (TDM), Muhammad Anas Awang, 32, dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, yang dibawa dari Hospital Bagan Serai tiba di Masjid An Nurul Huda di sini pada pukul 9.40 malam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Urusan pengebumian Allahyarham Muhammad Anas yang dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan selesai kira-kira 40 minit kemudian.

Urusan pengebumian dilakukan oleh anggota Markas 2 Divisyen Kem Tun Razak, Pulau Pinang.

Pengebumian pasangan suami isteri itu dihadiri dua anak mereka, Muhammad Afiq, 8, dan Siti Nur Alya Adriana, 6, serta ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan-rakan anggota tentera itu.

Pasangan suami isteri itu maut manakala dua anak mereka menjadi yatim piatu setelah kereta jenis Mazda RX8 yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di KM 181 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bagan Serai pada pukul 3.30 petang semalam. – K! ONLINE

Leave a Reply