Blog Berita Online

Berita Utama

Pegawai polis maut rempuh kereta masuk simpang

SUNGAI BULOH – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kereta yang sedang membelok masuk ke simpang di Persiaran Shorea, Saujana Utama, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, ASP Norhasnizam Hamzah, 40, yang bertugas di Bahagian Perundangan/Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dan kereta jenis Perodua Bezza dipandu suri rumah berusia 36 tahun.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah Saujana Utama menghala Jalan Kuala Selangor manakala Perodua Bezza dari arah Jalan Kuala Selangor menghala Saujana Utama.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Bezza tersebut mahu membelok masuk ke simpang sebelah kanan (Kilang Fong Yi Trading M Sdn. Bhd.)

“Kebetulan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian pintu hadapan sebelah kiri kenderaan berkenaan,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE

Leave a Reply