Kuala Lumpur: “Apabila sedutan lakonannya dimuat naik di media sosial selepas kematiannya, barulah orang tahu siapa sebenarnya suami,” kata Khairani Mohamad, isteri kepada Allahyarham Prof Azdi Abass yang juga pelakon kanak-kanak dalam filem Mekanik pada 1983 yang meninggal dunia, baru-baru ini.
Azdi, 50, yang juga pengasas dan Pengarah Urusan Octagon Petroleum Technology Sdn Bhd menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kajang Perdana pada 25 Oktober lalu akibat serangan jantung.
Azdi adalah pelakon kanak-kanak dalam filem Mekanik arahan Othman Hafsham dan lakonan Allahyarham Azmil Mustapha, Susan Lankaster, Datuk Yusof Haslam, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta ramai lagi yang diterbitkan pada 1983.
Walaupun hanya babak kecil, lakonan Azdi bersama dua lagi pelakon kanak-kanak berbangsa Cina dan India ketika mengambil pesanan makanan daripada pelanggan iaitu Azmil dan Susan kekal diingati hingga ke hari ini.
Dialognya dalam babak itu seperti ‘mi kungfu satu!’, ‘apa la, pekek punya brader’ dan ‘ABC tu A untuk Amanah, B Bersih, C cekap’ pasti diingati peminat filem berkenaan.
Khairani, 45, berkata, Alahyarham suaminya aktif berlakon dan sering tampil dalam TV Pendidikan bersama Afdlin Shauki.
“Namun, pembabitan dalam filem Mekanik buatkan dia dikenali ramai. Dia sebenarnya banyak juga berlakon drama. Dulu-dulu bilangan pelakon kanak-kanak tidak ramai.
“Dia berlakon kerana keluarganya berjiran dengan Allahyarham M Osman. Keluarga M Osman memang kenal dengan keluarga suami. Suami petah bercakap dan lincah dan itu yang buat dia jadi pilihan berlakon. Selain TV, dia juga berlakon drama radio. Semuanya kerana nak cari duit untuk belajar. Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia sambung belajar,” katanya.
Khairani berkata, semasa hayatnya Azdi juga aktif dalam misi dakwah dan berjaya mengislamkan banyak orang bukan Islam.
Allahyarham turut meninggalkan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Jenazahnya di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.
Leave a Reply