Blog Berita Online

Berita Utama

Pemandu lori maut langgar belakang treler

CYBERJAYA – Seorang lelaki maut selepas lori lima tan dipandunya melanggar belakang sebuah treler dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 42.2 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan dari Bandar Serenia di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia KLIA, Timbalan Penguasa Bomba II, Khairuddin Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 4.41 pagi sebelum sebuah jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kira-kira pukul 4.57 pagi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori muatan lima tan dan telah melanggar bahagian belakang sebuah treler.

“Mangsa, lelaki Melayu berusia 41 tahun telah tersepit dan tidak sedarkan diri di bahagian pemandu,” katanya hari ini.

Khairuddin berkata, pihak bomba berhadapan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan kabin pemandu post A rapat ke kerusi pemandu akibat daripada pelanggaran tersebut.

“Bagaimanapun, pihak bomba dapat juga mengeluarkan mangsa dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit lebih kurang 20 minit dan operasi tamat pada pukul 5.53 pagi.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kemalangan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE

Leave a Reply