Politik

Penganalisis politik anggap Ismail Sabri calon terbaik PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon terbaik Perdana Menteri kesembilan kerana tiada beban liabiliti dan diterima parti gabungan.

Penganalisis politik dan perundangan Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, selain itu, jawatan di dalam Umno sebagai Naib Presiden paling kanan menjadikan Ismail Sabri layak menyandang kedudukan itu.

Menurutnya, secara keseluruhan Ahli Parlimen Bera itu diterima baik ahli Dewan Rakyat yang membolehkan dia mendapat sokongan sekurang-kurangnya 115 pencalonan.

“Ismail Sabri adalah calon yang tidak mempunyai liabiliti bukan sahaja pada parti malah kerajaan.

“Pengalaman yang dimiliki sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kanan dan menteri di pelbagai kementerian menjadikan beliau calon yang boleh menerajui Malaysia ketika kemelut pandemik dan ekonomi ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Halim berkata, Ismail Sabri juga berperanan untuk memastikan kabinet yang dibentuk kelak berfungsi lebih baik tanpa ada ‘lebihan’ menteri dan timbalan menteri seperti sebelum ini.

Katanya, fokus utama kini adalah menstabilkan politik dan pada masa sama membawa keluar Malaysia daripada kemelut kesihatan dan ekonomi secepat mungkin.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, Ismail Sabri adalah calon muka baharu yang berkelayakan meneruskan agenda memulihkan negara dari sudut kesihatan dan ekonomi.

Beliau berkata, pengalaman dimiliki menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan ketika negara dilanda Covid-19 menjadikan beliau mampu menggalas jawatan itu dan meneruskan dasar pemulihan negara.

“Perdana Menteri yang dilantik perlu ada pengalaman terutamanya memacu negara keluar dari pandemik ini.

“Pengalaman itu ada pada Ismail Sabri kerana berada dalam kabinet Perikatan Nasional ketika negara sedang bergelut dengan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, beliau kini hanya perlu meneruskan dasar kerajaan namun perlu menambah baik apa jua pelan pemulihan agar ia seiring dengan kehendak rakyat yang sudah ramai tersepit dengan masalah kesihatan serta ekonomi.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!