KUBANG KERIAN – Dua bungkus nasi berlauk kambing berharga RM38. Itu harga yang dikenakan sebuah kedai makan di sini, sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Susulan itu, sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengunjungi premis terbabit untuk siasatan lanjut, semalam.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman, berkata berdasarkan aduan yang diterima memaklumkan premis berkenaan tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual.
“Kami terima aduan daripada pengadu yang mendakwa membeli dua bungkus nasi berlauk kambing pada harga RM38 menyebabkan dia tidak berpuas hati kerana dianggap mahal selain tiada tanda harga dipamerkan.
“Hasil siasatan mendapati tiada tanda harga dipamerkan pada makanan yang dijual di premis berkenaan dan mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya selepas program Tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021 di perkarangan Pasar Siti Khadijah, hari ini.
Sementara itu, Adnan berkata, sempena skim kawalan harga itu, anggota dan pegawainya akan berada di lokasi tumpuan orang ramai beli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk pemantauan.
“Justeru, peniaga diminta mematuhi peraturan dengan tidak menaikkan harga tanpa alasan munasabah untuk membuat keuntungan tinggi kerana bakal berdepan tindakan tegas,” katanya.
Leave a Reply