Blog Berita Online

Berita Utama

Penuntut UTM maut dihempap pokok tumbang

BENTONG: Seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Mustaqim Noor Azhar, 21, maut apabila dihempap pokok semasa menunggang motosikal dalam kejadian di Kilometer 67.4, Jalan Karak-Kuantan di sini.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang semalam, mangsa yang beralamat di Taman Hijau Karak, di sini sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dalam perjalanan pulang ke rumah dan tiba-tiba dihempap sebatang pokok tumbang apabila tiba di lokasi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis bergegas ke lokasi setelah menerima maklumat orang awam tentang kejadian dan mendapati seorang lelaki warga tempatan terbaring di atas jalan raya, manakala badannya dihempap pokok.

“Siasatan polis mendapati mangsa merupakan penuntut UTM Skudai sedang bercuti semester dan bekerja sambilan sudah hampir sebulan di sebuah kedai di bandar Bentong.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Karak setelah habis waktu kerja dan ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dan motosikal yang ditungganginya dihempap sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, Muhammad Mustaqim disahkan oleh petugas perubatan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hosiptal Bentong untuk bedah siasat.

“Saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu kenderaan dan menunggang motosikal dengan lebih berhati-hati dan berhemah khususnya ketika fenomena cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Ujarnya, seluruh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menzahirkan salam takziah untuk keluarga mangsa. – UTUSAN

Leave a Reply