GEORGETOWN – Tiada lagi senyuman manis kanak-kanak pengidap leukemia tahap akhir, Qistina Batrisya Zamri, tujuh tahun, selepas menghembus nafas terakhir pada 3.50 pagi tadi.
Khabar duka pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu disahkan ibunya, Juriah Saad, 41.
“Anak saya meninggal dunia di sisi keluarga di rumah kami di Kuala Ketil, Kedah.
“Jenazah dijangka disemadikan pada 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada Oktober lalu, Harian Metro melaporkan mengenai hasrat Qistina Batrisya yang mahu ke sekolah bagi bertemu kawan baiknya, Damia dan guru kelas, Siti Sarah Zakaria.
Berikutan keadaan kesihatan yang tidak menentu, kanak-kanak pintar dan ceria itu hanya sempat bersekolah selama 14 hari.
Juriah berkata, walaupun bersedih dengan kehilangan anaknya, namun dia gembira kerana dapat menunaikan hasrat Qistina Batrisya bagi berjumpa Damia dan guru terbabit.
Katanya, pertemuan itu berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan, Kuala Ketil, pada awal November lalu tanpa dirancang.
“Qistina Batrisya memberitahu dia rindu pada semua kawan jadi saya ambil keputusan untuk terus membawanya ke sekolah.
“Walaupun waktu persekolahan hampir tamat, dia sempat bertemu dengan Damia, rakan sekelas yang lain dan Cikgu Siti Sarah.
“Pertemuan berkenaan dilakukan pada masa singkat berikutan keadaannya yang lemah, namun dia amat gembira pada hari itu,” katanya lagi.
Juriah turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) kerana prihatin dengan perkembangan Qistina Batrisya dan kanak-kanak pejuang kanser yang lain.
Qistina Batrisya disah mengidap kanser pada 2018 dan mula menjalani kemoterapi pada April 2019.
Rawatan berkenaan berjaya, namun doktor mengesahkan bahawa sel kanser kembali menyerang pada Januari lalu.
Anak kepada pasangan penoreh getah dan suri rumah itu menjalani semula kemoterapi sebelum semua rawatan terpaksa dihentikan pada Julai lalu kerana ubat yang diberi tidak mampu melawan kanser berkenaan.
Leave a Reply