GEORGETOWN – Pesara bomba meninggal dunia ketika mendaki sendirian di Bukit Jambul, di sini, semalam.
Mangsa, Idris Hamat, 59, ditemukan tidak sedarkan diri oleh pendaki yang melalui kawasan berkenaan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fauzian Izzuan Abdullah, berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.08 petang berhubung kejadian itu.
Katanya, pasukan berkenaan seramai enam anggota kemudian bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan jantung ketika aktiviti pendakian.
“Mangsa mendaki seorang diri dan ditemukan terbaring oleh pendaki yang melalui laluan itu kira-kira 150 meter dari kaki bukit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, anggota kemudian membawa turun jenazah ke kaki bukit menggunakan pengusung.
“Mayat mangsa kemudian diserah kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya.
Mangsa yang tinggal di Sungai Ara, di sini, meninggalkan balu dan dua anak.
Sementara itu Ketua BBP Jalan Perak, A’azelan Hassan, berkata mangsa pernah bertugas sebagai pemandu jentera di BBP berkenaan sebelum bersara tiga tahun lalu.
“Allahyarham Idris sepanjang berkhidmat di sini, adalah seorang rajin, bertanggung jawab dan amanah terhadap kerjanya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Leave a Reply