Blog Berita Online

Berita Utama

Netizen lancar petisyen desak bebaskan Sam Ke Ting

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana menyebabkan kematian 8 remaja berbasikal lajak di jalan raya pada jam 3 pagi, ramai netizen menyuarakan bantahan terhadap keputusan itu.

Satu petisyen juga telah diwujudkan untuk mendapatkan sokongan ramai bagi mendesak pihak berkenaan membebaskan Sam Ke Ting daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja terbabit.

“Seperti yang dinyatakan oleh Majistret Siti Hajar Ali dalam penghakimannya pada 2019, Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit dan memakai tali pinggang keledar semasa memandu, membuktikan bahawa dia memandu dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati.

“Tetapi keadaan gelap, jalan berbukit-bukau dan berliku-liku di mana pemandu tidak dapat menjangkakan ada geng basikal lajak di jalan raya pada jam 3 pagi.

“Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman yang dikenakan terhadap SAm di mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab dan mangsa sebenar dalam kemalangan ini.

“Kegagalan ibu bapa bakal mat rempit yang membenarkan anak-anak mereka berkeliaran di jalan dengan basikal yang diubah suai atau ‘basikal lajak’ pada jam 3 pagi.

“Kami tidak menerima penghakiman ini dan menyeru hukumannya dibatalkan supaya tidak menjejaskan masa depan seorang warganegara Malayhsia yang muda dan tidak bersalah. Sam Ke Ting bukanlah punca kemalangan ini. Puncanya adalah 16 bakal mat rempit dan ibu bapa mereka,” kata kenyataan dalam petisyen tersebut.

Setakat ini, petisyen tersebut telah ditandatangan oleh 280,148 individu yang menyokong Sam Ke Ting dibebaskan dari hukuman tersebut.

Turut disertakan video sebelum kemalangan itu berlaku di mana pemandu terbabit nyaris melanggar sekumpulan penunggang basikal lajak di lebuhraya berkenaan.

Selain itu, turut trending di media sosial tanda pagar #justiceforsamketing yang menuntut keadilan untuk wanita berkenaan kerana ramai yang berpendapat Sam tidak bersalah dalam kes tersebut.

“Perempuan ini tidak bersalah. Arak tak ada, dadah tak ada, pandu laju pun tak. Siapalah yang berbasikal di lebuh raya pada jam 3 pagi? Astaga,” kata Sheena.

“Aku tak tau kenapa aku emo dan kesian sangat dengan kes dia ni. Terbit rasa yang sangat bersimpati terhadap dia sebab aku dapat rasakan dia pun tak jangka benda ini akan terjadi.

“Persoalannya sekarang, kenapa ada budak-budak main basikal atas highway pada jam 3 pagi secara beramai-ramai? Macam mana ahli keluarga boleh tak perasan anak keluar tengah malam? Aku doakan Sam dan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini,” kata Rosnorhazlina.

“Pernah sekali aku balik lewat jam 2 pagi, hampir tergilis budak-budak tengah lepak sambil baring tepi jalan kat selekoh. Alhamdulillah dapat elak. Bayangkan kalau tak sempat elak, apa jadi pada aku? Adakah aku cuai dan salah? Bayangkan juga hidup aku sebelum itu baik, terus menjadi gelap sebab salah ibu bapa yang cuai mendidik anak mereka. Adil tak untuk aku, mak ayah dan keluarga aku?

“Tak faham bila mak ayah budak-budak itu rasa lega bila ada orang dipenjarakan sebab kesilapan didikan mereka sendiri,” kata Annas.

“Kes ini membuktikan sistem keadilan di negara kita perlu ditambah baik. Kalau ini salah pemandu, adakah sama juga kalau seseorang itu melompat depan tren dan konduktor tren dipersalahkan kerana melanggar individu tersebut?” soal Kristina.

Leave a Reply