Politik

PH sedia ambil alih kerajaan, urus pandemik – Ronnie Liu

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) sedia untuk mengambil alih pimpinan kerajaan sedia ada, khususnya untuk menangani pandemik COVID-19, kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Ronnie Liu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu berkata, seandainya PH di bawah pimpinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi Kerajaan, mereka akan membuat rombakan dan pembetulan terhadap beberapa polisi tertentu.

“Saya bagi contoh, kerajaan mana boleh kata kita tak mahu guna gelang lagi untuk pesakit positif dan kontak. Mana boleh buat macam itu.

“Bila kita ada sistem gelang pun ada orang tidak patuhi undang-undang, melanggar prosedur operasi standard (SOP), apatah lagi kalau kita tak perlukan mereka guna gelang.

“Semua benda yang tidak betul dari segi pengesanan, ujian saringan, pencegahan dari segi SOP, semuanya kerajaan baharu di bawah PH boleh rombak semula. Membuat pembetulan, melakukan cara yang lebih betul,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa parti politik utama mendesak agar undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dilakukan segera, atas alasan Perdana Menteri sudah tidak mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya pada 4 Ogos lepas bagaimanapun berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan agar undi percaya oleh pihak Kerajaan akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat pada September ini.

Pada Selasa, UMNO telah mendedahkan dua warkah telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masing-masing bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu.

Ahmad Zahid memaklumkan warkah tersebut diutuskan kepada Al-Sultan Abdullah bertujuan mempersembahkan Surat Akuan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang membuat perakuan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Jelas beliau lagi, pendirian itu seiring dengan keputusan UMNO yang diputuskan melalui resolusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Ronnie berkata, beliau mengharapkan agar Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dapat dipilih oleh Agong untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Katanya lagi, ini merupakan masa yang terbaik untuk Muhyiddin berundur, dan keputusan itu akan dilihat sebagai pengorbanan beliau untuk mengundur diri, dan memberi laluan kepada kerajaan yang lebih baik.

“Saya harap, Datuk Seri Anwar akan dipilih (menjadi Perdana Menteri. Lepas itu saya percaya dengan pengalaman dan kesungguhannya, beliau dapat tangani wabak COVID-19 dengan secepat mungkin. Dengan Jemaah Kabinet baharu, tak perlu ramai menteri. Kita pilih orang yang berkebolehan, tak payah nama-nama besar.

“Lepas itu kita fokus masa, tenaga, dan sumber yang ada untuk menangani COVID-19. Saya percaya kalau kita dapat tangani wabak COVID-19, isu ekonomi akan menjadi lebih mudah dan lebih senang untuk diatasi,” tegasnya lagi.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!