Blog Berita Online

Berita Utama

Polis, Esscom tak pernah halang program Ebit Lew

KOTA KINABALU – Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, pihaknya mahupun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program pendakwah bebas dan dermawan, Ebit Lew di kawasan berkenaan.

Beliau merujuk kenyataan Lew yang tersebar di media sosial mendakwa misi bantuan di pulau sekitar Semporna tidak dapat diteruskan kerana tidak dibenarkan ke pulau terbabit.

Lew berkata, beliau juga terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancangnya atas faktor sama.

Hazani berkata, polis mengalu-alukan kerjasama mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, penganjur sebarang program digalakkan merujuk pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ustaz Ebit Lew.

“Ada juga kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan dakwaan itu dengan perintah berkurung di kawasan pantai timur,” katanya ketika dihubungi.

Hazani berkata, perintah itu dikeluarkan bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Ia tiada kena-mengena dengan program dianjurkan sukarelawan atau NGO di mana-mana kawasan di negeri ini.

“Cuma kita minta beliau rujuk pihak berwajib bagi mengenal pasti status pulau dan penduduk terbabit.”

Leave a Reply