Berita Utama

Polis serbu restoran, buru lelaki pakai ‘wristband’ Covid-19

KLANG – Seorang lelaki dipercayai warga India mencetuskan kebimbangan apabila berada di dalam sebuah restoran di Sungai Undang di sini walaupun dalam tempoh perintah kuarantin wajib Covid-19.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi dengan lelaki berusia 40an jelas memakai gelang tangan merah jambu pengesanan Covid-19.

Difahamkan lelaki tersebut tiba dari India sejak 13 hari lalu untuk bekerja di restoran tersebut.

Seorang pekerja restoran, Mohamad Khaled In Habib, 47, memberitahu telah melarang lelaki tersebut berada di restoran kerana perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya sudah beritahu bahawa tidak boleh masuk namun dia ingkar dan duduk di sudut meja makan bagi menunggu rakannya untuk menghantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

“Hari ini adalah hari ke-13 dia menjalani kuarantin wajib dan perlu menjalani saringan Covid-19 kedua,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Jelas Mohamad Khaled, lelaki tersebut berada di dalam restoran tersebut selama 10 minit sebelum beredar menaiki kenderaan rakannya.

Sementara itu, tinjauan mendapati pihak polis dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) hadir melakukan pemeriksaan dan meminta keterangan daripada pekerja restoran tersebut.

Terdahulu tular di laman sosial Facebook sebuah gambar lelaki yang memakai gelang berwarna merah berada di dalam restoran. – K! ONLINE.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!