SEORANG wanita melecur teruk di muka dan badan akibat terkena sup panas selepas periuk tekanan (pressure cooker) yang dikendalikannya mengalami kerosakan.
Menurut Nurnadia Haris, kejadian malang itu berlaku ketika dia sedang menyediakan sup tulang untuk dinikmati bersama keluarganya.
“Ketika itu saya dengan seorang adik sahaja berada di rumah. Kami dah siap masak hidangan lain… tinggal sup tulang sahaja nak disiapkan sementara tunggu keluarga tiba untuk makan malam.
“Tulang dah siap direneh dalam pressure cooker, cuma tinggal nak masukkan batang saderi dan daun sup saja. Sebelum itu, saya dah release wap, plug pun dah cabut. Kiranya waktu tu wap memang dah habis keluar sebab tak ada bunyi dah.
“Waktu nak buka penutup periuk untuk masukkan bahan-bahan tadi, ia macam tersekat dan ketat. Saya minta adik tolong, pun tak boleh. Saya fikir, tak apalah… lagi setengah jam saya buat semula.
“Waktu saya nak berlalu dari periuk tu, tiba-tiba terdengar bunyi macam wap. Saya pusing balik sebab ingat plug tak tutup. Serentak itu, isi dalam periuk terus berhamburan keluar dari penutup yang terbuka tiba-tiba.
“Kuah sup yang panas terkena tubuh saya dari bahagian bawah mata hingga ke pusat,” ujar wanita berusia 26 tahun ini.
Tidak mudah panik, Nurnadia berkata dia segera melangkah ke bilik mandi untuk menyiram tubuh dan anggota badan yang terkena sup panas di bawah pancuran air (shower) selama kira-kira setengah jam.
Menurut Nurnadia, keluarganya yang tiba tidak lama kemudian terus menghantarnya ke klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan.
“Sebaik tiba di klinik, doktor suruh saya siram lagi dalam satu jam. Dekat klinik itu juga saya mandi lagi sekali. Selepas diberi ubat tahan sakit, saya dirujuk ke hospital.
“Sekali lagi saya disarankan untuk mandi. Walaupun tengah menggigil sejuk, dalam masa yang sama rasa bahang di kulit. Ketika itu dah nampak menggelembung dan warna daging.
“Malam itu doktor cuci luka dan keesokan pagi baru saya jalani pembedahan membuang kulit mati. Syukur, kecederaan yang saya alami tak memerlukan prosedur menampal kulit,” ujarnya yang menetap di Puncak Alam, Selangor.
Mengalami lecur sebanyak 12 peratus dan dalam kategori tahap 2, Nurnadia terpaksa dirawat selama lapan hari di hospital sebelum dibenarkan keluar.
Hampir sebulan tragedi itu berlaku, kecederaan yang dialami Nurnadia beransur-ansur sembuh dan dia perlu berulang alik ke hospital setiap tiga hari untuk mencuci luka pada bahagian yang melecur teruk.
“Sekarang saya masih cuti sakit dan tinggal di rumah ibu seketika. Kalau cakap pasal trauma, memang agak trauma… saya dah suruh suami buang pressure cooker itu dari dapur kami.
“Mungkin selepas ini saya hanya guna periuk biasa saja walaupun ambil masa sedikit lama. Saya muat naik di TikTok untuk dijadikan kenangan dan kongsi pengalaman, tapi ramai yang tanya brand apa.
“Saya malas nak reveal… malas nak panjangkan untuk ambil tindakan undang-undang. Saya nak fokus sihat dulu. Ini bukan kali pertama saya guna, tapi mungkin hari itu nasib tak menyebelahi.
“Sebenarnya tak kisah brand apa, mahal atau murah… kita tetap kena hati-hati. Sampai sekarang tak tahu apa punca pressure cooker tu jadi macam tu.
“Seperkara lagi saya nak share, jika alami perkara sama, lekas-lekas siram dengan air. Doktor sendiri pun sarankan… ia untuk elakkan daging kita lecur lebih teruk. Moga perkongsian ini buatkan kita semua lebih hati-hati,” ujarnya lagi.
Leave a Reply