Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) oleh pihak berkuasa.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mendakwa ia sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu.
Katanya, dalam sistem keselamatan negara, TCO merujuk ‘Travel Control Order’ oleh pihak berkuasa iaitu satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus.
“(Ia) seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster atau persona non grata di tanah air saya sendiri.
“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini (kerana) ia bukan sekadar label tetapi saya ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi.
“Satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga 2024,” katanya.
Ahmad Samsuri mendakwa, status itu membolehkan segala pergerakan, komunikasi dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan.
Katanya lagi, ia dilaksanakan atas nama ‘untuk keselamatan negara’ atau ‘untuk kestabilan politik’ tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan sebagai usaha mengawal dan menekan suara tertentu.
Leave a Reply