Blog Berita Online

Politik

PRU15: Syed Saddiq akan pertahan Parlimen Muar

MUAR: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mempertahankan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia diumumkan oleh Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz di sini, malam tadi.

Pada PRU14, Syed Saddiq yang juga calon PH daripada BERSATU menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar ketika itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.

Sementara itu, Amira Aisha berkata, pengumuman calon itu adalah yang terakhir diadakan dan selepas ini akan fokus kepada gerak kerja hingga tamatnya tempoh kempen pilihan raya.

“Pada hari esok MUDA akan melancarkan bilik gerakan dan jentera di Tanjung Piai, Tanjung Karang dan tempat-tempat lain yang MUDA akan bertanding.

“Hari pernamaan calon sudah hampir, jadi kita akan berfokus untuk turun ke lapangan secepat mungkin berjumpa dengan seberapa ramai rakyat dan mempromosikan calon-calon MUDA yang bertanding,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon Kerusi Parlimen Muar dan Penyerahan Watikah Pencalonan di Hotel Muarar 99,dekat sini, hari ini.

Katanya, MUDA masih ada lagi satu calon untuk ditampilkan dan akan diumumkan dan diberikan kenyataan media pada hari esok.

“Selain itu, semua calon MUDA perlu melakukan proses mengisytihar aset dan MUDA dalam proses untuk memuktamadkan pengisytiharan berkenaan serta akan umumkan dalam tempoh terdekat sebelum hari penamaan calon.

“Ini budaya baik dan sangat penting kerana rakyat boleh menilai sebelum dan selepas menyertai politik berapa jumlah aset yang ada pada setiap calon,” katanya.

Selain Parlimen Muar, MUDA telah mengumumkan empat calon yang akan bertanding menggunakan logo sendiri iaitu kerusi Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang, Tanjung Piai dan Kota Marudu.

Leave a Reply