Berita Utama

Ratusan pelarian Rohingya lari dari kem Aceh, cuba menyusup ke Malaysia

JAKARTA – Ratusan pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari kem perlindungan sementara di Balai Latihan Kerja (BLK) Lhokseumawe, Aceh untuk memasuki Malaysia.

Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) Indonesia, Mitra Suryono berkata, sejak awal lagi pelarian Rohingya itu memang bertujuan ke Malaysia dan bukan Indonesia.

“Mereka meninggalkan kem penempatan tanpa pengetahuan petugas.

“Mereka menggunakan khidmat orang ketiga untuk menyeberang ke Malaysia, kerana sejak awal memang tujuan mereka Malaysia,” kata Mitra kepada Kompas.com.

Data yang diperoleh Kompas.com, pelarian Rohingya datang dalam dua gelombang iaitu gelombang pertama terkandas di Aceh Utara, seramai 99 orang.

Gelombang kedua di Kota Lhokseumawe seramai 297 orang.

“Keseluruhan pelarian yang melarikan diri berjumlah 396 orang di Kem Balai Latihan Kerja (BLK) Lhokseumawe.

“Daripada jumlah itu, 281 orang melarikan diri manakala tiga meninggal dunia.

“Ketika ini baki yang tinggal 112 orang di kem sementara ini,” katanya.

Menurutnya, alasan etnik Rohingya mahu ke Malaysia kerana mereka sudah melarikan diri ke sana beberapa kali termasuk Disember lalu.

Sebelum itu, etnik Rohingya berangkat dari Bangladesh dengan tujuan Malaysia namun kerana kerosakan kapal mereka terkandas di perairan Aceh.

Menurut Mitra, sebahagian pelarian meneruskan hidup di Malaysia dan berharap dapat memasuki negara itu.

“Di Malaysia, sebahagian keluarga mereka, baik suami, saudara dan lainnya sudah hidup dengan baik. Maka, niat ke Malaysia itu terus ada,” kata Mitra.

Mitra berkata, UNHCR menyerahkan sepenuhnya proses undang-undang kepada polis berkaitan perdagangan orang etnik Rohingya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!