Berita Utama

Rider Grabfood maut kemalangan, ahli keluarga dan kenalan rapat luah rasa kehilangan

SEORANG penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam nahas lima kenderaan dekat sebuah hotel di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Serdang, semalam.

Dalam kemalangan pada jam 1.40 tengah hari itu, mangsa dikenali Haffiz berusia 35 tahun parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal membawa kepada penahanan seorang pemandu lori selepas didapati memandu laju, sebelum hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan berlaku.

“Lori itu terbabas selepas keluar dari susur Lebuh Bukit Jalil-Puchong dan merempuh sebuah van, diikuti motosikal Yamaha Y125ZR dan Perodua Axia.

“Pada masa sama, insiden itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan jatuh di lokasi kejadian.

“Lori berkenaan yang masih tidak dapat dikawal kemudian melanggar belakang Perodua Myvi dan Toyota CHR sebelum terbabas di bawah jejantas dan berhenti di situ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, suspek yang masih dalam tahanan akan menjalani ujian saringan air kencing dan alkohol.

“Semakan mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai rekod kesalahan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemergian mangsa yang dikenali sebagai Saiful Haffiz itu memberi tamparan hebat buat ahli keluarga dan kenalan rapat.

Mereka berkongsi kesedihan dengan memuat naik posting di laman Facebook meluahkan rasa kehilangan arwah yang disifatkan sebagai seorang yang disenangi ramai dan sentiasa memudahkan urusan orang lain.

“Semoga amal ibadahnya diterima di sisi Allah SWT, dilapangkan serta diterangkan kuburnnya, diampunkan segala dosa dan dikumpulkan kelak bersama Rasulullah SAW serta para Salafussoleh,” tulis rakan karibnya yang bernama Iqbal.

Adik mangsa juga turut memuat naik posting memohon doa orang ramai agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat arwah abang saya. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” luahnya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!