Berita Utama

‘Saya bukan zalim, saya buat semua ini demi rakyat’ – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika umat Islam bakal menyambut 1 Syawal bukan tindakan zalim.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, keputusan itu terpaksa dibuat semata-mata untuk melindungi nyawa rakyat negara ini.

Katanya, beliau tahu ada rakyat marah dengan dirinya namun keputusan itu dilakukan sebagai ikhtiar kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Beliau turut mengakui melaksanakan PKP adalah satu keputusan sukar, selain tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati rakyat namun mesti dibuat untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan rakyat.

“Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini?

“Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk melindungi nyawa rakyat. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang ke rumah itu positif COVID-19.

“Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu.

“Kalau dia ziarah 10 rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti COVID-19. Akhirnya, habis saja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif COVID-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari,” katanya dalam perutusan Aidilfitri, malam ini.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!