Berita Utama

Sejumlah RM500,000 subsidi upah disalah guna oleh majikan

PUTRAJAYA – Kerajaan mendapat laporan bahawa sejumlah kira-kira RM500,000 subsidi upah yang sepatutnya dibayar kepada pekerja, telah diambil oleh majikan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja, sebaliknya untuk kegunaan sendiri.

“Di kesempatan ini, saya ingin memaklumkan bahawa dalam ketika kerajaan berusaha membantu perniagaan dan pekerja untuk kelangsungan perniagaan mereka, saya berasa sedih dengan syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab yang tergamak mengambil kesempatan melalui program subsidi upah.

“Kerajaan mendapat laporan bahawa sejumlah lebih kurang RM500,000 subsidi upah yang sepatutnya dibayar kepada pekerja, telah diambil oleh majikan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada majikan yang melakukan kesalahan ini,” katanya ketika membentangkan Laporan LAKSANA Ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) secara maya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bantuan bagi Program Subsidi Upah kepada majikan yang asalnya untuk tempoh hanya tiga bulan (April, Mei dan Jun) telah dilanjutkan selama tiga bulan tambahan (Julai, Ogos dan September) di bawah PENJANA yang menjadikan enam bulan secara keseluruhan.

Katanya, tidak lama lagi ia akan dilanjutkan lagi antara tiga hingga enam bulan (bagi pemohon sedia ada dan baharu) di bawah pakej KITA PRIHATIN.

“Setakat 18 September lalu, sebanyak RM11.93 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, secara keseluruhan seramai 38,186 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan.

“Jumlah ini merangkumi 29,575 orang di bawah umur 40 tahun, 4,829 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 270 orang kelainan upaya (OKU) dan 3,512 perantis,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!