KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun menjanda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman, hari ini, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Edrin Nordin.
Pasangan itu yang sedondon dalam persalinan putih dinikahkan bapa pengantin wanita dengan mas kahwin sebentuk cincin berlian.
Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara, 32, berkata, majlis itu berlangsung di dewan Wisma Selangor, Jalan Ampang, dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan dihadiri semua ahli keluarga dan rakan rapat.
“Alhamdulillah saya lega dan bersyukur, majlis berlangsung dengan sempurna seperti dirancang.
“Saya mengharapkan perkahwinan ini berkekalan dan bahagia sampai ke syurga,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Sementara itu, detik majlis akad nikah pasangan itu dikongsikan secara langsung di Instagram Rara dengan ruangan komen dibanjiri ratusan ucapan tahniah.
Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan dan suaminya yang juga ahli perniagaan berstatus duda itu mengikat tali pertunangan pada 27 Feb lalu.
Sebelum ini, Rara pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang pengurus pelaburan, Muhammad Masyur pada 24 Sept 2016, namun bercerai talak satu pada 7 Mac 2019.
Leave a Reply