Berita Utama

‘Seluruh paru-paru Siti Sarah dipenuhi virus Covid-19’ – Shuib

KUALA LUMPUR – Pelawak Shuib menasihatkan masyarakat supaya mengambil serius mengenai pandemik Covid-19 dan mahu mereka percaya Covid-19 adalah benar.

Shuib menerusi sesi Instagram Live hari ini turut berkongsi bagaimana dia sekeluarga dijangkiti Covid-19 yang berpunca daripada pembantu rumah.

“Allah nak jadikan jalan cerita, pembantu rumah saya turun ke bawah membuang sampah. Kebetulan dia berjumpa kawan, bersalam dan dia dijangkiti Covid-19. Kemudian terus satu keluarga kami dijangkiti Covid-19.

“Covid 19 is real (Covid-19 itu benar). Tadi sebelum saya keluar dari ICU (Unit Rawatan Rapi) selepas tengok isteri, seorang jururawat panggil saya.

“Katanya, dia tahu mengenai Siti Sarah memang viral dan semua orang mendoakannya. Tapi dia nak sampaikan sesuatu,” katanya.

Menurutnya, jururawat itu menyeru agar semua individu mengambil suntikan vaksin.

“Saya sudah divaksin. Jururawat itu kata, kita kena sedarkan rakyat Malaysia mengenai vaksin. Sekurang-kurangnya dengan vaksin mungkin dapat membantu kita.

“Saya tersentak sebab saya tahu isteri saya belum divaksin. Seluruh bahagian paru-parunya terkena jangkitan ia tak boleh berfungsi untuk proses oksigen.

“Bukan itu saja, ia juga menyebabkan semua organ badannya tak berfungsi dengan baik. Saya rasa kemungkinan juga kerana dia tak sempat divaksin. Wallahuallam,” katanya.

Shuib berkata, di saat begini dengan kematian setiap hari, semua orang tidak boleh berundur ke belakang selepas positif Covid-19.

“Saya ingat isteri saya akan sihat dan saya cukup yakin. Tapi bila berkomunikasi dengan doktor, dia memaklumkan paru-paru isteri saya memang sudah dipenuhi virus Covid-19. Sebab itu ia tak boleh berfungsi.

“Kita kena jaga kesihatan. Kena makan vitamin supaya sistem imunisasi kuat. Jangan sayang duit. Ingat lagi, ketika saya dalam ambulans bila nak bawa isteri ke hospital, nak bawa ke pusat perubatan swasta tapi dah penuh.

“Masa itu dah teruk sangat. Ketika itu terfikir duit banyak mana pun takkan boleh kembalikan isteri saya. Takkan boleh sihatkan isteri saya. Itulah yang jadi. Jangan sayang duit. Bila orang cakap jangan keluar, kena ikut,” katanya.

Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM jam 5.13 pagi, hari ini.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak jam 1.20 petang hari ini.

Terdahulu, Siti Sarah bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!