SELEPAS empat tahun menderita kanser tulang hingga menyebabkan Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 19, kehilangan kaki sebelah kiri, ia berakhir selepas remaja itu meningga dunia pagi ini, lapor Harian Metro.
Abdul Afza Aziz disahkan meninggal dunia di rumah neneknya di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang pada 11.15 pagi di sisi ibunya, Siti Halimah Mohammad, 39, selepas beberapa jam dibawa pulang dari Hospital Pasir Mas (HPM).
Menurut Siti Halimah, anak sulungnya itu dimasukkan ke HPM sejak Ahad lalu, selepas dia mengadu sesak nafas selain ketumbuhannya yang semakin membengkak dan bertukar kehitaman.
“Afza bagaikan sudah tahu bahawa dia akan meninggalkan saya buat selamanya malah sempat meminta saya menunaikan hasratnya berjumpa idola yang banyak membantunya iaitu pengasas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce, Raja Shamri Raja Husain.
“Pagi ini, Afza berjumpa dengan idolanya yang lebih mesra dipanggil Abang Raja, sebelum dia terus mengembuskan nafas terakhir di hadapan kami semua. Hati saya luluh melihat pemergian anak kesayangan namun reda selepas sekian lama dia terpaksa menanggung kesakitan.
“Malah ketika saat-saat akhir kami bersama dia selalu berpesan untuk saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membantu memberi sumbangan bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siti Halimah, dalam nada sebak memberitahu jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang selepas solat Asar.
Katanya, dia mengakui bagaikan hilang sumber kekuatan kerana sebelum ini, anaknya, Afza yang menjadi tunggak untuk dia terus berusaha meneruskan kehidupan walaupun dalam serba kekurangan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini melaporkan perjuangan anaksaya sebagai seorang pejuang kanser daripada awal dia disahkan kanser hinggalah di saat akhir hidupnya. Banyak sokongan dan doa yang diberikan oleh masyarakat hasil laporan terbabit.
“Biarpun sedih dengan apa yang terjadi, saya perlu kuat meneruskan hidup demi membesarkan tiga lagi anak yang masih kecil. Walaupun Afza sudah tiada, namun semangat dalam dirinya masih ada untuk saya meneruskan kehidupan ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Leave a Reply