Blog Berita Online

Berita Utama

Semua guru didesak ambil vaksin demi keselamatan pelajar

PETALING JAYA: Semua 413,825 guru perlu mengambil vaksin Covid-19 bagi memastikan persekitaran sekolah selamat sekali gus mengurangkan risiko penyebaran virus tersebut.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan sehingga awal bulan ini, dianggarkan kira-kira 85,000 guru lagi belum divaksinkan, dan jika mereka gagal berbuat demikian sebelum pembukaan sesi persekolahan Oktober ini, ia mendedahkan pelajar kepada risiko keciciran pem belajaran sekiranya kes Covid-19 menular semula di sekolah-sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pengambilan vaksin dalam kalangan guru dapat memberi jaminan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran secara bersemuka.

“Kalau tidak mengambil vaksin, besar kemungkinan ibu bapa enggan mahu menghantar anak mereka ke sekolah kerana kurang yakin dengan keselamatan anak-anak,” katanya.

Mengenai tindakan terhadap guru yang gagal mengambil vaksin, beliau menyifatkan cara terbaik adalah menerusi ujian saringan dan program kaunseling.

“Kita tidak boleh menghukum seperti pecat atau turunkan jawatan, tetapi jika mereka tetap tidak mahu mengambil vaksin, guru-guru ini perlu menjalani ujian saringan yang ketat serta diberikan kaunseling, kita perlu pujuk dengan apa cara sekali pun,” ujarnya mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak pengambilan vaksin.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang pula berharap, tempoh sebulan sebelum sesi persekolahan dibuka digunakan sepenuhnya untuk meyakinkan semua guru agar segera mengambil vaksin.

“Sebenarnya hampir 100 peratus guru di seluruh negara telah mendapat suntikan vaksin, lagipun guru yang akan hadir ke sekolah adalah guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima,” katanya.

Isu guru tidak mengambil vaksin tersebut juga mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberitahu baginda akan menerima menghadap guru terbabit Jumaat ini.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” titah baginda dalam Facebook rasmi Tunku Mahkota Johor semalam.

Sementara itu Pengerusi Muafakat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Daerah Barat Daya, Ismail Kassim berkata, akan timbul prasangka buruk dalam kalangan ibu bapa sekiranya terdapat guru yang masih menolak untuk menerima vaksin.

Apatah lagi jelasnya, guru merupakan cerminan keperibadian utama kepada golongan ibu bapa, waris dan pelajar sekolah.

“Ibu bapa dan pelajar kini merasakan sekolah tempat lebih selamat daripada penularan jangkitan wabak Covid-19 dengan pelaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat sejak awal lagi.

“Sekiranya terdapat guru yang menolak vaksin, ia tak sepatutnya berlaku di sekolah sedangkan kami di rumah sudah 100 peratus mencapai imuniti kelompok, mengikut had usia yang diwajibkan kerajaan,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said pula berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang laporan mengenai guru di negeri ini yang enggan menerima vaksinasi.

Seorang waris pelajar, Ahmad Hakim Osman, 43, memberitahu, sepatutnya pihak sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus.

“Pihak sekolah juga perlu berkongsi dengan ibu bapa atau waris mengenai jumlah peratusan imuniti kelompak yang sudah dicapai kakitangan dan guru setakat ini.

“Ini menjadikan anak murid lebih yakin serta bersemangat untuk kembali ke sekolah sekali gus menganggap sekolah mereka tempat lebih selamat daripada jangkitan virus tersebut,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply