Berita Utama

‘Shafie guna surat tahun 2018 untuk bubar DUN Sabah?’ – Najib

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mempertikaikan surat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Najib melalui laman Facebook sebentar tadi turut meminta rakyat menunggu pengumuman rasmi daripada Tuan Yang di-Pertua, Tun Juhar Mahiruddin.

“Aik, tiada kenyataan rasmi lagi dari pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah tapi Shafie dah umum DUN Sabah bubar? Shafie adalah TYT ataupun Ketua Menteri Sabah?

“Surat bubar ini pun macam main “fill in the blanks”. Sendiri isi tarikh. Ini surat lama dari tahun 2018 ke?

“Saya percaya ianya lebih elok jika kita tunggu pengumuman rasmi dari pejabat TYT untuk pastikan kesahihan,” katanya sambil memuatnaik gambar surat perkenan tersebut.

Mohd Shafie mendakwa telah mendapat perkenan Tun Juhar untuk pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Dalam sidang akhbar tergempar yang diadakan itu Shafie mendakwa surat perakuan tersebut diterima ketika perjumpaannya bersama Tun Juhar di Istana Negeri awal pagi tadi.

Sementara itu bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, turut mempersoalkan kewajaran Mohd Shafie yang memohon pembubaran DUN ketika wabak Covid-19 sedang melanda.

Musa turut berkata telah menyerahkan akuan bersumpah 33 Adun yang menyokongnya pagi tadi.

“Bagaimana DUN boleh dibubarkan sedangkan kami mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.

”Adalah tidak wajar lebih-lebih lagi sekarang ini kita berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya ketika sidang akhbar sebentar tadi.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!