KUALA LUMPUR – Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Jelasnya dengan pengenalan GST, kos akan diturunkan ke pengguna dan ini bukan langkah sesuai pada ketika ini ketika ekonomi masih belum pulih.
“GST adalah cukai yang lebih telus dan membantu perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membuat tuntutan cukai namun apabila ia hendak diperkenalkan semula, akan ada kesan kos peralihan yang mampu beri kesan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Namun beliau bersetuju saranan langkah ekonomi harus menyentuh perniagaan dan bukan hanya tertumpu kepada pengguna namun pada ketika ini ratusan ribu PKS dalam risiko dan sebilangan besar telah memberhentkan operasinya.
“Intervensi tidak boleh mencederakan tahap kepenggunaaan pada ketika belanja pengguna masih rendah berbanding sebelum COVID-19.
“Bukan sahaja ia akan merencatkan perbelanjaan oleh pengguna malah tidak akan menambah hasil yang signifikan kepada Keraajan,” jelas Shahril.
Cadangan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) untuk mengurangkan cukai korporat 2021 dan 2022 baginya boleh dipertimbangkan.
Selain itu, cadangan pengurangan sumbangan levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) juga boleh disokong berikutan tahap kewangan agensi tersebut dilihat masih baik dengan dana dari Kerajaan disamping sumbangan dari syarikat lebih besar yang mencatat keuntungan.
“Usaha lain seperti langkah yang mampu meningkatkan pinjaman dari Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) untuk PKS juga wajar dikaji seperti jaminan yang lebih meluas dan komprehensif daripada Kerajaan ke atas pinjaman oleh SME daripada DFI,” katanya.
Kata Shahril, selagi langkah itu boleh membantu aliran tunai PKS, ia wajar diperhalusi kerana bank komersil hari ini dilihat tidak mahu memanjangkan kredit kepada sektor itu.
Leave a Reply