Hiburan

Shuib mohon padam foto, video isteri tak tutup aurat

PETALING JAYA – Pelawak dan usahawan, Shuib memohon kepada orang ramai agar tidak mengeluarkan atau memuat naik foto atau video Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang tidak menutup aurat dengan sempurna.

Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, turut meminta jasa baik orang ramai agar tidak lagi menghebohkan kebaikan Allahyarham secara berlebih-lebihan.

“Saya ada permintaan di mana saya mohon kepada semua untuk tidak lagi mengeluarkan gambar atau video Allahyarham yang tidak menutup auratnya dengan sempurna.

“Saya juga mohon kepada yang telah memuat naik dalam media sosial untuk keluarkan kembali video atau gambar tersebut.

“Dan, saya juga mohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarham secara berlebih-lebihan. Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita. Insya-Allah, semoga kita semua diberkati dan dirahmati Allah SWT,” tulisnya dalam satu hantaran status Instagram sebentar tadi.

Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu turut mengambil kesempatan dalam hantaran yang sama mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Allahyarham isterinya.

“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, bidadari syurga saya.

“Sama-sama kita terus istiqamah menuju ke jalan Allah SWT. Jika rindu kepada Allahyarham, sedekahkan al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia Isnin lalu selepas tiga hadir ditidurkan dan bertarung nyawa melawan virus Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!